Tuesday, May 25, 2021

Hazelnut Latte.

Subuh tu sangat ceria.
Kicau burung riang berbunyi. 
Suara Mua'zzin lunak bergema.
Langit yang masih pekat tidak menunjukkan tanda-tanda hari akan hujan.

Qaseh masih dalam telekungnya. Duduk dihamparan sejadah sambil melontar pandangan ke luar.
Dia tersenyum.
Hari ni hari penting.

"Qaseh! Dah solat!?" Suara ayahnya mengejutkan lamunan.

"Dah ayah!" Sahutnya.

Dia bingkas bangun. Melipat elok sejadah serta telekungnya dan ke balkoni sambil sekali melontar pandangan ke luar.

Lama betul tak menulis..
Berkarat agaknya..

Ucapnya sendirian.

Qaseh mengambil iPadnya.
Terkebil-kebil memandang paparan skrin.

"Apa nak tulis ni?"
"Nak mula fasal apa ni?"
"Ayah kata mesti ada sesuatu boleh ditulis, aku mesti menulis sesuatu.."

Langit Ilahi yang indah...
Qaseh memulakan entrinya.

Turunkan rezekiMu,
andai ada yang masih tersimpan untukku.
Sampaikan padaku semua hikmah yang aku masih tercari-cari,
dalam setiap doaku,
kasihkan aku Ya Allah,
jangan Kau angkat kasih sayangMU daripadaku.
Kasihkan ibubapaku Ya Allah,
sedang mereka menjaga aku sampai sekarang..

Matanya bergenang air.
Hidungnya di kesat dengan lengan baju.
Entri yang sebak untuknya.

"Qaseh, mari turun sarapan!" Ibunya memanggil.

"Kejap Bu, Qaseh nak mandi" Jawabnya.

Qaseh mengenakan kemas baju kemeja dengan jeans.

"Comel plak!" Getusnya sendirian.

Dia menuruni tangga sambil tersenyum bangga.
Melihat ayah, ibunya dan adik-adiknya sedang berkumpul di meja makan.

Ayahnya membelek skrin iPad membaca surat khabar.
Adik-adiknya sibuk membantu ibu menyiapkan meja.

"Assalamualaikum Bu, good morning!" Ucapnya.

"Waalaikumsalam, laaah, ni kenapa pakai simple je ni? Takde kelas ke hari ni?" 

"Ibu, hari ni hari Sabtu lah! Mana ada orang ada pergi kelas hari ni. Hari ni nak duduk rumah. Nak rileks!" Ujarnya tersengih.

Ibunya terkial-kial. Seperti mengingat kembali hari, bulan dan waktu.

"Eh, bukan hari ni hari Isnin ke?" Soal ibunya.

"Ibu niii! Hari ni hari Ahad lah, semalam Sabtu, esok baru hari Isnin" Jawab Qaseh.

Ayahnya mengekek ketawa.

"Yelah, yelah" Ibunya mengalah.

p/s-Lama betul tak menulis.




Tuesday, June 26, 2018

Benyamin.

Assalamualaikum readers.

Sebuah epilog yang tak pernah ada hujung. 
Selalu saja ada sambungan yang bersambung-sambung.
Sampai tak terkesima walau dalam cahaya gemilang.



Lurutlah dedaunan tatkala hujan lebat.
Basahlah sayap merpati,
terketar-ketar ia dalam kesejukan.
Namun, hangat dalam pelukan rajawali.

Dalam singgahsana ada puteri,
termenung jauh luar jendela,
rintik hujan masih berat,
fikiran dan hati yang belum terawat.



Tabahlah hati
Tenanglah jiwa
Dengan berkat ruh Al-Quddus.


Wallahua'alam.





Monday, February 6, 2017

Nuansa.

Untuk nuansa pagi yang gemilang.

Bangkit bila jatuh.

Sabar itu lebih mulia,
Tanam selalu dalam hati,
ketenangan yang dicari,
rupanya ada disisi.

Wallahua'alam.

Monday, January 16, 2017

Kick-off.

Ini akan jadi post aku yang pertama dalam tahun 2017.

Assalamualaikum readers.

Aku nak mengimbau kenangan masa aku mula-mula tubuhkan blog ni.

Ianya berdasarkan rasa hati-fikiran kusut-jiwa memberontak masa tu. Sebab ini lah salah satu platform untuk aku berkarya meluah rasa.

Lama-kelamaan ianya menjadi satu bentuk diari. Public diary.

Aku tak kisah sebenarnya sebab walaupun selalunya pembacanya cuma aku.

Bila baca balik entri-entri lama,
aku dapat tengok macam mana diri aku, fikiran aku, perkataan yang aku gunakan, perwatakan aku evolved.

Selalu senyum sendiri pada entriku sendiri.
Yang sedih.
Mau pun yang gembira.

Kalau kalian tengok kat sebelah taskbar bahagian authors. Dulu ada lebih kurang 12-15 authors. 

Ramai.

Lepas tu, sorang-sorang berhenti menulis.

Dan tinggallah dua-kerat, tiga-kerat. Itupun dah lama diorang tak update.

Sama mcm aku.

Jadi,
tahun ni aku berazam untuk mencoret sebanyak mungkin dalam platform blog ni.

Kerana,
pada aku,
setiap hari berbeza perasaan dan pengalamannya.

Jadilah walaupun sekadar memberi salam-Assalamualaikum.

Wallahua'alam.

Friday, August 12, 2016

Prolog.

Salam readers.

Dunia terus kompleks.
Segala macam teknologi mula menjelma.
Manusia seakan menjadi hamba padanya.

Aku.

'Tumpul' akal dan jiwa. Penat.

Melodi langsung tak mengalir.
Bunyi sumbang pon tak berbunyi.

Sedang termengah-mengah mencari rentak dan bunyi.
Termenung mencari bait yang tersembunyi.

Wallahua'alam.

p/s-Aku sedang bicara fasal kerja aku.

Wednesday, May 25, 2016

Fight.

Permulaannya yang aku boleh coret :

Pertama, Ramadhan
Kedua, Ibadat
Ketiga, Keluarga
Keempat, Islam
Kelima, Lelaki Melayu

Selebihnya aku huraikan nanti.

Cuma nak berkongsi.

Sekiranya kita mempunyai jawatan atau kuasa, hendaklah kita sentiasa muhasabah diri. Kita kan pelaku dosa tegar.

Sekiranya apa jua keputusan kita, hendaklah kita balik kepada ajaran Muhammad SAW. Akhlak bagindakan Al-Quran

Semoga rezki yang aku perolehi ini,
rezki yang halal.

Paling penting,
barokah dari Allah.

Wallahua'alam

Friday, May 20, 2016

Qaseh


Hujan dah sidang.
Lama betul aku tunggu.
Sedang mengelamun jauh, sambil perhatikan sisa hujan yang bagai kristal ketika terkena pancaran matahari petang. Terbiaslah warna pelangi.

Readers.
Pembaca.
Salam.

Aku mohon ampun sebab dah lama tak menulis.

Sedikit update hidup aku.

Oh.
Gambar atas tu anak gadis aku.

Nur Qaseh Irdina.
1 tahun 6 bulan umurnya baru.

Walaupun banyak nama butik, produk kecantikan dan kesihatan bernama Qaseh itu, Qaseh ini,
Takpe.
Bila dia besar, dia akan tahu nama dia banyak terpampang kat signboard/iklan/tv/koran.

Hahaha.
Pastu mesti kene ejek.

Masa tu aku akan ada dengan dia.
Selalu.

Ok.
Tu fasal Qaseh.


Allahyarham Hj Yusoff Hamid hampir setahun meninggalkan keluarga aku.

Bila dah tua ni,
sebenarnya banyak ajaran dari ayah yang boleh aku belajar.

Tapi aku tak boleh jadi seperti dia,
walaupun benar-benar teringin.

----------------------------------xxx--------------------------------

Makin lama semakin kompleks hidup.

Cara berfikir pon turut jadi kompleks.
Cara mengintrepretasi sesuatu perkara jadi teraju utama.
Supaya ada timbangan baik-buruk.

Jangan putus asa dengan hidup.

Ianya kadang-kadang menjadi kejam.
Tapi kadang-kadang ianya indah

Sentiasa menasihati sesama kita.
Supaya tidak tergoda dengan janji palsu dunia.

p/s-masih mencari rentak.

Wallahua'alam.









Monday, August 24, 2015

Harap-harap.


Oh.
Aku memang sudah lama tidak menulis.

Aduyai.
Kalau dulu, ilham mengalir seperti air di Sungai Lui.
Aku dapat menafsir keindahan Banyu Manis yang menggamit walaupun serba kekurangan.
Lazatnya murtabak Meggi si Asz.
Dapat melihat ketabahan di mata Sang Ibu demi kerenah anak-anaknya.
Melodi indah selalu bermain dalam fikiran, ketika tidur.
Aku dapat perincikan setiap helaan nafas, senyuman, sekaan rambut, litupan tudung.
Sehingga pujangga pun terpana dan terkesima.
Aku boleh meraih suasana ketika gembira-sedih.
Kadang-kadang merenggut hati nurani orang yang membaca.
Membuatkan mereka terkenang-kenang ketika menerawang dalam pengalaman hidup.
Dan apabila mata merenung kehidupan di sekeliling,
ada sahaja lembaran aku titipkan.
Sehingga kopi panas pun menjadi suam,
kemudian sejuk.
Karipap pusing pun digigit sekerat,
dan kemudian habis.
Lancar sahaja jari-jemari menulis.
Sampai bateri tinggal suku,
tak sedar sudah mahu habis.

Sekarang,
setiap kali menaip-menulis atau apa sahaja yang kalian panggil,
setiap kali itu juga aku padam,
konon menyusun ayat, menyusun kata.
Ingin seperti yang di atas tadi.
Kononnya lah.

Entah ada, entah tidak.
Harap-harap ada lah.
Nanti.

Wallahua'alam.

Salam Merdeka.
Semoga kita bebas dari penjajahan kebodohan yang menjengkelkan dan ketaksuban dunia.

Tuesday, August 11, 2015

Insyirah

Kemas aturanMu Ya Allah.
Kau beri apa yang kami perlukan, bukan apa yang kami mahu.
Setiap dari kesusahan itu akan disertai kemudahan.
Hanya perlu kau bersungguh menerima takdir Allah dan redha akannya.

Wallahua'alam.

Monday, June 8, 2015

Pilihan.

Yes.
We all have choices.

Dan ianya terpulang pada kita sama ada mahu ambil yang mana.
Biar pun jalan sudah dimudahcarakan,

Ya,
Keputusan untuk buat pilihan terletak pada kita.

Benar,
Allah takkan ubah nasib satu kaum itu, melainkan mereka mengubahnya.

Cuma,
kau tahu pilihan itu salah,
kau datang juga padanya.

Kau tahu langkah kau sudah sumbang,
kau ulanginya.

Kau tahu semua ini bodoh,
kau mahu jadi bodoh.

Kau tahu semua ini sesak dan menyesakkan,
kau tetap sumbat semuanya dalam kepala.

Kau tahu bintang tak berkelip,
kau renung juga ke langit.

Ya.
Pilihan itu ada.

Kau pilihlah.

Wallahua'alam.

Thursday, May 21, 2015

Sindrom susah-menulis-sebab-lama-sangat-tak-menulis



Salam.

Aku dah terkena sindrom-susah-menulis-sebab-lama-sangat-tak-menulis.

: `(

Tapi,
takpe. InshaAllah.
Pasti ada sesuatu yang boleh dikongsikan...

"Pakcik, biar saya tolong amikkan" Aku cuba membantu saat pakcik tu ingin mencapai gelas hendakkan air.

"Takpe nak. Disini pakcik sudah biasa buat sendiri"

Aku menahan sebak.

Wajah tua pakcik tu menggamit rindu arwah atuk.

"Pakcik dah berapa lama kat sini?"

Pakcik tu tak terus menjawab. Dia meneguk air beberapa kali sehingga hilang haus.

"Pakcik pun tak berapa ingat nak.."

"Pakcik maaf saya bertanya, ermm..macam mana pakcik boleh masuk sini?" Soalku tergagap takut-takut menyinggungnya.

Pandangannya dialihkan ke luar tingkap. Sesekali nampak dia 

Aku rasa aku penah bgtau yang banyak-banyak tempat dalam dunia ni, aku paling tak suka pergi rumah orang-orang tua.

Bukan sebab banyak orang tua dan 'bende' lama.
Bukan pulak sebab aku tak suka dan tak lalu dengan orang-orang tua.
Jauh sekali aku sakit hati atau menyampah dengan mereka.

Oh,
Pasti aku tak dapat menahan airmata kalau aku disana.

Ibarat ibu dan ayah aku.
Umpama atuk dan nenek.
Orang-orang yang aku paling sayang.

Di situ akhirnya mereka. Menanti saat maut menjemput. Sementara itu, habiskan sisa-sisa hidup seorang diri.

Wallahua'alam.




Wednesday, April 22, 2015

Perasaan apakah ini?

Perasaan apakah ini?
Seperti mahu menjahit kenangan lalu,
Biar tersulam kemas dalam lipatan

Perasaan apakah ini?
Seperti mahu dibiar dan ditahan hari ini,
supaya tidak habis.

Perasaan apakah ini?
Asyik teringat tempat dan wajah,
sampai sekarang pun asyik tertanya-tanya.

Perasaan apakah ini?
Asyik terdengar aliran sungai,
Terbayang pohon menghijau,
Terasa kasar tanah yang digenggam.

Perasaan apakah ini?
Seperti ke arah itu,
mahu saja ditinggalkan kerjaan sekarang,
mahu terus mengejar perasaan itu.

Perasaan apakah ini?
Bermain-main,
ligat berputar,
sampai resah..

Perasaan apakah ini?

Wallahua'alam.

Tuesday, April 14, 2015

Perjalanan.

Tahun 2015.

Perjalanan hidup ni macam bawak kereta. Ada lorong-lorong, ada jalanraya, ada lebuhraya.
Kadang-kadang traffic jam.
Kadang-kadang jalan clear.

Dalam perjalanan tu terkadang pemandangannya saujana mata memandang.
Cantik, menenangkan jiwa.

Kalau ada seseorang di sebelah, boleh berborak.
Kalau tak ada boleh mendengar radio.
Kalau tak ada jugak boleh merasa angin yang menderu.

Sejenak itu terkadang kenangan menggamit.
Apa yang sudah dilakukan.
Apa yang belum.

Terkadang senyum sendiri.
Terkadang berlinang air mata.
Terkadang berkata sendirian.

Belum pun sampai ke destinasi, hati melonjak-lonjak.
Mahu jumpa cinta hati.
Mahu jumpa ibu ayah.
Mahu jumpa anak isteri.
Mau jumpa famili.

Tak ada salahnya perjalanan yang jauh.
Yang jauh itu terkadang istimewa.

Namun, tak ada salahnya pula perjalanan yang dekat dan singkat.
Itu pun boleh jadi istimewa.

Apa tujuan perjalanan itu?
Apa akhirnya?
Itu yang penting.

Tenang-tenang saja kalian.
Sebab semuanya akan pergi ke tempat yang sama.
Perjalanan kita sebenarnya untuk ke tempat itu,
di mana semuanya akan abadi.

Wallahu'alam.

#kekok
#lamatakmenulis
#tenangisgood

Saturday, December 27, 2014

Sesak nafasku.

Aku kira disebalik kekerasan sesebuah hati tu tersembunyi perasaan yang aku panggil tawaddu' dan khusyu'. Lebih-lebih lagi bila disuntik misteri hidayah Allah.

Subhanallah.
Apa lagi sebenarnya kau mau?

Dari kau keras-riak-sombong padaNya.
Lebih baik kau tundukkan hatimu pada kebesaranNya.

Astaghfirullah.
Fitnah dunia semua ni.
Celaka yang bisa menjerumuskan kau ke Jahannam. Nauzubillah.

Oh.
Jangan lupa merenung ke langit.
Lihat pada segenap ciptaanNya.
Pasti akan buatkan kau sesak nafas dengan seluruh kasih sayangNya.

Dalam setiap titik hujan yang turun, 
Dalam setiap warna pelangi yang ada,
Segenap malam dan siang yang menemani,
An-najmu yang bertaburan,
Pada setiap haluan An-Nita' dan Al-Muntaha,
Pada setiap tangisan bayi,
Gelak ketawamu,
Tangisan-tangisan marhaenmu,
Terus ke petala langit dan bumi..

Allahuakbar,
Siapa kau untuk riak dan sombong padaNya?

Nafasku sesak.

Wallahua'alam.

Wednesday, December 17, 2014

Sembang-sembang.

Salam pembaca blogku. Semoga sihat hendaknya.

Beberapa tahun yang lepas, aku selalu bertanya pada diri aku, apa yang aku nak buat dengan hidup aku? Tiada perkerjaan tetap? Masih menumpang dengan mak dan ayah. Aku habiskan hidup aku dengan merayau-rayau mencari arah dan kedudukan. Dan yang paling penting mencari jawapan kepada soalan-soalan tadi.

Lalu aku berdoa, moga diberi petunjuk dan rezeki. Ternyata hidup aku ni sudah ditakdirkan jalannya. Ya, bukanlah mudah tapi yang tak mudah tu bagi aku pengalaman berharga. 

Dulu,
Pelajaran bukanlah matlamat. Maksud aku, nak masuk universiti, nak grad, nak kerja bagus-bagus, nak itu, nak ini. Haa yang semua itu lah. Tapi tu bukan matlamat yang aku nak, walaupun semuanya itu mak dan ayah punya impian.

Berbuih mulut ayah aku cakap.
"Kau nak jadi apa? Angkat sampah?"

Jadi apa matlamat kau?

Takde pape.
: )

Betul. Sebab aku tak tau apa yang aku nak dalam hidup.

Untuk itu, aku bazirkan almost 11 years of my life just for doing nothing.

When I'm realised it, my age hit 30 years old.

Pointless entry eh?
Think again.
Please.

Wallahua'alam.


Tuesday, September 23, 2014

Dear future daughter.

Bila kau sudah faham apa erti dusta dan nista,
jangan bersedih,
semua itu pancaroba yang harus kau tempuhi.

Berpada-pada pada setiap yang kau lakukan.
Kerana dalam setiap helaan nafasmu,
hanya ada Allah dan rasulNya.

Kekang nafsumu,
dengan cara ucapkan Taubat.
Dunia ini terlalu banyak perkara hina dari mulia.

Jagalah auratmu,
kerana sentiasa ada mata-mata yang mencuri peluang dan ruang,
untuk membogelkanmu,
sekalipun kau bertudung litup.

Solatmu adalah tiang agamamu,
dirikanlah.
Setiap titis airmata biarlah untukNya,
setiap resah dan gelisah biarlah atas dosa yang telah kau lakukan padaNya,
hanya untukNya.

Hormatlah ibu ayahmu,
kerana dari kasih sayang mereka kau tercipta.
Ibumu terlalu gembira saat memegang perutnya,
saat kau bergerak-gerak.

Aku pernah melihat dia memejam mata,
saat berdoa dan mengaminkan, meminta-minta pada Allah,
supaya kau diberkatiNya.
Aku pasti ada titik air dihujung matanya.

Pupuklah sabar dan redha dalam nyawamu.
Ingatlah Allah senantiasa bersama orang-orang bersabar.

Sampai ketika kau memanggil seorang suami,
taatlah padanya,
seluruh syurgamu padanya.
Moga kau lahirkan zuriat keturunan yang baik.

Usah biarkan sesiapa merendah-rendahkanmu,
sekalipun kau benar.
Namun, baikilah dirimu, betulkan semula niatmu, kembali semula padaNya.

Hidupkanlah hidupmu dengan syariat,
Serapkanlah rasa indah takwa,
Sampai masa ibu dan ayahmu menemui tuhan,
Moga kau tak tersesat mencari cahaya.

Peganglah kata-kata ini,
Dear my future daughter.

Wallahu'alam.

Tuesday, January 28, 2014

Hidup.

"Hidup ni sudah ditentukan Allah,
kau siapa,
jodoh kau,
rezeki kau,
buta warna ke tak,
jalan asyik terlanggar dinding sampai jam rosak baju terkoyak,
ibu bapa,
persekitaran
duduk kat mana,
ajal kau,
dimana,
bagaimana,

semuanya ditentukan sedari di luh mahfuz lagi.

Seperti sebuah TV yang skrinnya amat besar,
HD,
full color,
hidup ini harus begitu.
Seharusnya begitu.

Allahuakbar,
jangan mengeluh di sudut negatif.
Yang penting, apa yang kita belajar dari apa yang terjadi.

Doalah.
Banyakkan istighfar.
Kerana kita semua menuju tempat yang sama suatu hari nanti.."

Harap aku dah isi salah satu tujuan kita ni dihidupkan Allah: 
Memberi manfaat kepada orang lain.

Wallahua'alam.



Monday, November 25, 2013

Burung Origami 30

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani. Maha suci Kau ya Allah yang telah menjadikan aku. Kau menggerakkan segalanya. Kau yang maha berkuasa menghidup dan mengambil nyawaku...

Alhamdulillah. Aku sudah temui cahayaku...

Selang satu di awan nan biru,
kertas-kertas origami lelah menerjah angkasa,
berkali-kali ia cuba bangkit, kali ini berjaya.

Cuba memahami satu-satu firmanNya,
terasa ketenangan dan kelembutanNya,
hembusan angin pada rumput yang hijau,
pada pokok-pokok yang berzikir.

Doa dan harapan masih ku titipkan,
walau telah sampai ke telapak tangannya,
moga kekal ke akhir waktu.



Wallahua'alam.



p/s- Aduyai, lama tak menulis. Moga kalian baik-baik. : )

Saturday, March 23, 2013

Janji yang pasti ditepati.

Bismillahirahmanirrahim.

Pertama-tamanya nak mintak maaf sebab lama tak menulis. Kekangan masa dan kerja yang menjadi-jadi. Mintak maaf kalau dah 'berkarat'. Masih lagi belajar : )

Pada kawan-kawan yang membaca ni, jangan berhenti menulis. Jangan berhenti berkarya. Ia seolah kalian memberhentikan seluruh fungsi akal dan fikiran. 

Pada mereka yang tak percaya, cubalah menulis. Apa saja. Walaupun pembacanya adalah anda sendiri. Insha Allah, pasti ada sesuatu yang anda akan dapat...

"Halimmmmm!Lopehkan kambing tu haaaa..hari dah tinggi!" Teriak nenekku memanggil pakcikku Halim.

"Sudahh.!!" Sahut pakcikku.

Aku yang baru bangun terus ke dapur menjenguk nenek.

"Masak pe nek?" Tanyaku.

"Ari ni kito makan gulai cendawan liar dongan ikan sombilang salai yo.." Jawab nenek.

"Uii..sedapnya nekk..!"

"Poie mandi dulu..kang tolong nenek parut kelapo" Ujar nenek.

Aku melangkah ke bilik air.

"Sapa kat dalam..cepatt..nak kencinggg!" Jeritku bila cuba menolak daun pintu bilik air dan ianya terkunci rapat.

"Haa..koncingla kau kek situu~!"

"Ucuuuuu...cepatlaaahhh~" Jeritku lagi.

Ucu ku yang baru tingkatan 5 memang rapat denganku.
Memang selalu mengusik.
Nama manja ucu kat rumah dan kawan-kawan dia panggil, 'Ayang'.
Macam nama pompuan.
: )

"Ayanggggg!!Copek laaa haaaa..budak ni nak mandii nii!" Laung nenek.

"Yolahhhhh!" Sahut ucu pula.

Lepas mandi, sarapan nasi lemak yang dibuat Neksu. Dan seperti yang dijanjikan, aku menolong nenek memarut kelapa. Bukan tu saja, tolong siang ikan, menggulai, dan menggoreng.

Tengahari tu, kami makan gulai cendawn liar dengan ikan sembilang salai.
Itulah makanan dan masakan paling sedap yang aku takkan lupakan sampai bila-bila.

Kenangan waktu kecil tinggal dikampung dengan nenek banyak merubah dan menjadikan diri aku seperti sekarang. Aku suka kedamaian kampung.
Lebih tenang.

Perasan tak kalau kenduri-kendara, jiran sebelah menyebelah, jirang dari kampung seberang, dari hilir, dari baruh, datang menolong. Dari menyiang dan menyembelih sampailah mencuci pinggan mangkuk.

Itulah suasana yang paling aku rindu.

Aku membesar dikampung.
Bersama budak-budak kampung.
Main sungai, panjat pokok manggis, bagi makan lembu-kambing, hisap rokok daun, kacau anak dara orang walaupun masa tu budak lagi.
: )

Aku banyak belajar dari nenek.
Aku sangat suka sejarah. Semuanya berpunca dari nenek yang tak sudah-sudah bercerita.
Perihal zaman jepunlah, zaman komunislah, makan ubi kayulah, zaman arwah atuk jadi polis kat Johor lah, cerita macam mana nenek dan arwah atuk membina rumah yang ada sekaranglah dan macam-macam cerita sejarah aku dengar.

Soal masakan kampung, soal yang tak elok dan elok dilakukan, pantang larang orang tua, tafsiran-tafsiran perangai manusia, semuanya interpretasi dan inspirasi dari nenek.

Alhamdulillah,
syukur Allah lahirkan aku dalam keluarga ni.
Mudah-mudahan Allah melindungi dan memberkati keluarga dan keturunanku.

Kawan-kawan,
janji yang pasti ditepati bukannya janji BN atau Dato' Seri Najib.
Tapi janji Allah Ta'ala.

Tahun ni,
5 Mac 2013,
pada usia 78 tahun,
nenek pergi menghadap Allah.

Benarlah janji Allah.
Semua yang hidup pasti akan menemui mati.

Al-fatihah untuk arwah nenek.
Rindu nenek.

Dengan linangan air mata.





Friday, December 28, 2012

2012/2013.

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku menutup 2012 dengan penuh kesyukuran.
Alhamdulillah.
Atas segala yang dikurnia.
Juga atas semua ujian-ujianNYA.

Berkatilah.
Redhailah.
Ya Rabb.

Selamat datang 2013.
Sebuah pengharapan dan wawasan.
Semoga ianya lebih baik dari hari semalam.

Tunjukkan aku jalanMU Ya Rabb.

Selamat tahun baru 2013
Terima kasih pada pembaca blog aku.
Kerana sudi berkongsi melalui tulisan dan ayat-ayat.
Moga korang dapat sedikit kekuatan dan anjakan paradigma.

Wallahua'alam.
Elok-elok semua.