Sunday, November 11, 2012

Surah terakhir.

Masih lagi dikatil.
Di wad ni, sesak dengan pesakit-pesakit yang bermacam ragam.

Di katil sebelah, pakcik yang dipakainya alat pernafasan. Kadang-kadang bila malam nafasnya memecah sunyi malam.

Di sebelahnya, seorang lagi pakcik tua yang tak lekang di tangannya tasbih. Mulutnya kelihatan terkumat-kamit membaca sesuatu. Kadang-kadang terdengar dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran di tiap Subuh yang hening.

Aku?
Aku ingin sembuh. Itu saja.

Hm.
Paru-paru berair serta ditambah sebelah buah pinggang yang gagal berfungsi menambah harapan untuk sembuh seperti sediakala. 

Sudah 2 kali aku ke ICU.
Dan 2 kali itu, Allah masih memanjangkan nyawaku.

Terlalu sakit bila malam sejuk.
Kadang-kadang terpaksa diberi pelali dan ubat tidur.

Aku terdengar suara pakcik tua itu mengaji.
Suaranya mendamaikan.

Teringat pada hari ini, setahun yang lepas, ketika Allah mengurniakan kesihatan.

"Saya teringin dengar awak mengaji. Awak boleh mengaji Quran?" Soal Katrina tiba-tiba.

"Apa yang awak tanya ni?Tentulah saya boleh mengaji. Saya kan orang Islam" Balasku.

"Saya teringin sangat dengar awak mengaji" Ujar Katrina.

Suasana sepi.
Dia diam sejenak. Pandangannya dilempar jauh-jauh.
Aku terdiam. Pandanganku tepat ke wajah ayunya.

"Nanti saya mengaji dekat awak ok?" Balasku senyum.

Katrina baru saja memeluk Islam. Dahaga ilmu terhadap Islam meluap-luap. Ada saja persoalan tentang Islam kepadaku. Aku pula cuba menjawab. Namun, tak semua. Pengetahuanku terbatas.

Dia membetulkan sisi tudungnya. Diseluk rambutnya yang terkeluar. Masih tak biasa bertudung. Ingin mencuba katanya.

Walau ditentang hebat oleh keluarganya yang berketurunan lain, dia tetap dengan pendiriannya ingin memeluk Islam. Hidayah Allah ini sungguh istimewa dan misteri. Dia akan beri kepada sesiapa yang dikehendakiNYA.

Dan hari-hari yang berselang selepas itu, Katrina masih meminta aku mengaji untukknya.

Dan sehingga lah satu hari,
Katrina jatuh sakit.
Rupanya dia mengidap barah tulang.
Dia merahsiakan dari pengetahuanku dan keluarganya.

Last stage kata doktor.
Aku menangis semahu-mahunya.

Aku merapatinya di katil.

"Kenapa mata awak merah?Awak menangis ya?Jangan menangis. La Tahzan, ini dugaan Allah untuk saya, saya redha.." Dia masih tersenyum ketika melawan penyakitnya. Oh, Katrina. Murni jiwamu.

"Awak..awak masih belum tunaikan janji awak pada saya.." Ujarnya.

"Mengaji untuk saya.." Ujarnya lagi.

Aku mengesat hujung mataku. Aku membuka application Al-Quran pada telefon bimbitku.

"Surah apa yang awak nak saya bacakan...?" Soalku.

"Surah Yasin" Balasnya. Mata sayunya merenung aku.

"Bismillahirahmanirrahim...Yasinnn..Wal quranil hakim..." Aku mula membaca.

Mulutnya terkumat kamit seperti hafal surah tu.

Tiba-tiba dia seperti sesak nafas.
Sedang nazak!
Aku menekan butang memanggil doktor!

Aku merapati ke telinganya.
Lalu aku mengajarnya Syahadah.

Dengan tenang dan dalam senyuman, dia mengucapkan syahadah dengan lengkap.
Tiada riak sakit diwajahnya.

Aku tak dapat habiskan surah terakhir untuknya.

Namun aku bersyukur kerana dapat belajar darinya. Dia mengajar aku tentang Islam sedangkan aku yang patut mengajarnya. 

Aku menunggu hari-hari terakhirku dikatil ini. 
Gagahkan diri mengambil wudhu' dan mengaji.
Moga surah terakhir untukku dan kesudahan terbaik untukku.

Moga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. 
Nurul Aisyah Katrina Abdullah.


Wallahu'alam.