Tuesday, May 25, 2021

Hazelnut Latte.

Subuh tu sangat ceria.
Kicau burung riang berbunyi. 
Suara Mua'zzin lunak bergema.
Langit yang masih pekat tidak menunjukkan tanda-tanda hari akan hujan.

Qaseh masih dalam telekungnya. Duduk dihamparan sejadah sambil melontar pandangan ke luar.
Dia tersenyum.
Hari ni hari penting.

"Qaseh! Dah solat!?" Suara ayahnya mengejutkan lamunan.

"Dah ayah!" Sahutnya.

Dia bingkas bangun. Melipat elok sejadah serta telekungnya dan ke balkoni sambil sekali melontar pandangan ke luar.

Lama betul tak menulis..
Berkarat agaknya..

Ucapnya sendirian.

Qaseh mengambil iPadnya.
Terkebil-kebil memandang paparan skrin.

"Apa nak tulis ni?"
"Nak mula fasal apa ni?"
"Ayah kata mesti ada sesuatu boleh ditulis, aku mesti menulis sesuatu.."

Langit Ilahi yang indah...
Qaseh memulakan entrinya.

Turunkan rezekiMu,
andai ada yang masih tersimpan untukku.
Sampaikan padaku semua hikmah yang aku masih tercari-cari,
dalam setiap doaku,
kasihkan aku Ya Allah,
jangan Kau angkat kasih sayangMU daripadaku.
Kasihkan ibubapaku Ya Allah,
sedang mereka menjaga aku sampai sekarang..

Matanya bergenang air.
Hidungnya di kesat dengan lengan baju.
Entri yang sebak untuknya.

"Qaseh, mari turun sarapan!" Ibunya memanggil.

"Kejap Bu, Qaseh nak mandi" Jawabnya.

Qaseh mengenakan kemas baju kemeja dengan jeans.

"Comel plak!" Getusnya sendirian.

Dia menuruni tangga sambil tersenyum bangga.
Melihat ayah, ibunya dan adik-adiknya sedang berkumpul di meja makan.

Ayahnya membelek skrin iPad membaca surat khabar.
Adik-adiknya sibuk membantu ibu menyiapkan meja.

"Assalamualaikum Bu, good morning!" Ucapnya.

"Waalaikumsalam, laaah, ni kenapa pakai simple je ni? Takde kelas ke hari ni?" 

"Ibu, hari ni hari Sabtu lah! Mana ada orang ada pergi kelas hari ni. Hari ni nak duduk rumah. Nak rileks!" Ujarnya tersengih.

Ibunya terkial-kial. Seperti mengingat kembali hari, bulan dan waktu.

"Eh, bukan hari ni hari Isnin ke?" Soal ibunya.

"Ibu niii! Hari ni hari Ahad lah, semalam Sabtu, esok baru hari Isnin" Jawab Qaseh.

Ayahnya mengekek ketawa.

"Yelah, yelah" Ibunya mengalah.

p/s-Lama betul tak menulis.